Pages

Thursday, 15 May 2014

Kehidupan


Assalamualaikum...w.b.t

Noktah pena kali ini hanya sekadar ingin berkongsi rasa. Perjalanan hidup ini sukar di duga. Adakalanya kita di atas dan adakalanya kita di bawah. Hidup umpama roda. Berputar setiap kali tanpa di duga arah mana akan berhenti. Dunia ini umpama sebuah cerita yang pelakonnya adalah diri kita sendiri. Bertukar watak setiap kali mengikut keadaan, masa dan tempat. Terkadang membawa watak seorang yang agresif dan terkadang pula pasif. Namun, jauh di sudut hati kecil setiap manusia itu ingin membawa watak seorang budiman yang mulia sifatnya. Tetapi lumrah kehidupan, setiap manusia tidak lepas dari melakukan kesilapan.



Ketika saatnya kita di bawah, kerdil sangat terasa pada diri bilamana ketika itulah kita dapat mengenal yang mana kawan dan yang mana lawan. Namun, sebagai manusia biasa, padaku itu lumrah. Hatiku yang dulunya masih boleh menerima siapa saja sebagai peneman, kini hanya lebih selesa sendiri. Hanya Allah yang mengerti setiap apa yang ku lalui sepanjang perjalanan hidupku. Berdiam diri adalah lebih baik kerana padaku tiada insan yang akan terluka dan melukai. Kini, aku hanya berserah diri pada pemegang hati yang sebenar iaitu Allah S.W.T.. Cukuplah Allah bagiku. Kerana DIA lebih mengerti segala-galanya berbanding manusia yang hanya mampu melihat tapi tak mampu mendengar, kadang mendengar tapi tak mungkin memahami. 

Pengalaman banyak mengajar tentang erti hidup. Mensyukuri segala nikmat. Jangan terlalu berharap pada sesuatu genggaman yang di genggam kerana ianya hanyalah angin. Mengharap pada yang tak pasti. Menunggu pada yang tidak jelas. Cepat berpuas hati dan banyak lagi perkara yang harus dielakkan. Walau apapun, aku tetap bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk menadah tangan mohon keampunan serta mensyukuri segala nikmat selama ini. Aku juga mengerti tentang sesuatu. ALLAH TAKKAN BERI APA YANG KITA NAK, TETAPI ALLAH BERI APA YANG KITA PERLU. Kata-kata ini tak pernah ku lupa. Memberi seribu pengertian padaku. Allah beri sesuatu ujian sebab DIA rindu untuk mendengar kita mengadu, bercakap, menangis, meminta serta bersujud dengan penuh rasa rendah diri pada-NYA. Kerana di saat kita senang dengan nikmat, kita lupa untuk bersyukur, kita lupa untuk sujud, kita lupa untuk bercakap dengan-NYA, kita lupa siapa diri kita yang sebenar. Jadi sebab itu kita diuji. Ujian itu tanda Allah masih lagi sayang dan beri peluang untuk kembali pada-NYA. 

Pesanan ku pada diri, cubalah untuk berubah menjadi lebih baik setiap hari meskipun perubahan itu hanya sekecil cuma tetapi dengan istiqomah. Aku bukanlah manusia sempurna, bukan juga yang terbaik, aku hanya manusia biasa yang ingin menjadi lebih baik. Di saat ini aku diuji lagi dan aku berharap aku diberi kekuatan untuk hadapi segala ujian dan rintangan itu kerana aku sangat yakin Allah ada bersamaku. 






*~ JADILAH SEPERTI AIR YANG MENGALIR, BIARPUN BERIBU HALANGAN, NAMUN TETAP BERUSAHA UNTUK MELALUINYA TANPA PUTUS ASA. ~*


No comments:

Post a Comment